TELUR MASIN
PERNAH menjamah telur masin yang tidak menepati selera? Kurang masin atau terlalu masin? Harganya pula semakin hari semakin mahal, pasti membuatkan kita membebel tidak puas hati.
Ada juga anak perantau
yang tinggal atau belajar di luar negara teringin menikmati lauk telur
masin. Jika sukar, apa salahnya hasilkan sendiri telur masin.
Ramai yang tidak tahu
sebenarnya tidak sukar membuat telur masin. Memang agak lama menunggu
tetapi proses membuatnya tidak sukar. Pasti puas hati menikmati telur
masin buatan sendiri.
Jika bimbang, hasilkan beberapa biji dulu seperti panduan berikut:
Bahannya:
10 biji telur
1 jag air (2 liter)
500 gram garam (atau mengikut selera kemasinan sendiri)
Proses:
a) Pilih telur
- Telur itik yang
terbaik tetapi boleh juga menggunakan telur ayam. Bukan semua orang
mudah mendapatkan telur itik. Sebenarnya telur ayam pun boleh juga
digunakan cuma telur itik lebih tebal kulitnya dan sesuai dijeruk
sebagai telur masin. Ia juga dikatakan lebih tahan lama dan hasilnya
lebih sedap berbanding telur ayam.
Di Malaysia tidak sukar
mendapat telur itik bagi membuat telur masin tetapi sekiranya anda
perantau di luar negara dan sukar mendapat telur itik, telur ayam boleh
digunakan.
- Saiz bukan masalah
utama cuma telur jangan terlalu nipis kerana kelak mudah pecah. Jangan
terlalu besar kerana telur akan saling berlaga di dalam bekas
penyimpanannya jadi risiko pecah perlu diminimumkan. Pilih warna telur
yang kehijauan.
- Telur mesti sempurna,
tidak boleh rosak ataupun pecah walau sedikit pun. Lubang halus pun
tidak boleh kerana melalui lubang itu air boleh masuk dan merosakkan
proses pemasinan telur.
- Mesti menggunakan telur yang baru dan segar.
b) Basuh telur sehingga bersih dan keringkan.
c) Masak air dan garam dengan api perlahan sehingga garam larut dan likat. Biar sehingga sejuk atau semalaman.
d) Tapis air garam bagi mendapatkan air garam yang betul-betul bersih tanpa kekotoran sampingan.
e) Masukkan telur ke
dalam air garam tadi. Pastikan air garam cukup penuh untuk
menenggelamkan semua telur sekali gus. Tutup bekas kemas-kemas.
f) Tulis tarikh di luar bekas penyimpanan supaya senang ingat tarikh pembuatannya.
g) Selepas dua minggu,
telur sudah boleh direbus. Kemasinan telur bergantung pada air garam
tadi dan sekiranya terlalu masin, boleh rendam di dalam air biasa sehari
dua bagi mengurangkan masin sebelum direbus.
Terima kasih:
Omar Yatim (pengusaha sampingan ternakan itik dan telur itik) yang sudi berkongsi cara membuat telur masin dengan Harian Metro.
Artikel
ini disiarkan pada : 2012/03/28 - See more at:
http://www.hmetro.com.my/articles/Buattelurmasin/Article/#sthash.RU4FzqxX.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan