Jumaat, 14 Disember 2012

Makanan Ayam Bebas Enzim BABI
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tindakan Khas Mengenai Isu Enzim Babi Dalam Makanan Ayam semalam mengesahkan makanan ayam di negara ini halal selepas analisis DNA terhadap sampel itu tidak menemui sebarang enzim babi dalam bahan yang digunakan untuk menghasilkannya.
Jawatankuasa dipengerusikan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) itu berpuas hati dengan ujian yang dilakukan Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putra Malaysia, Makmal Kesihatan Veterinar JPH, Pusat Kawalan Doping Universiti Sains Malaysia serta Jabatan Kimia dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarah JPH, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaludin, berharap hasil kajian itu akan melegakan semua pihak kerana penyebaran e-mel berkaitan penggunaan enzim babi dalam makanan ayam baru-baru ini, menimbulkan situasi kurang menyenangkan di kalangan masyarakat terutama umat Islam.
Katanya, pengesahan itu dibuat selepas perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang turut menganggotai jawatankuasa khas berkenaan dan pelbagai faktor terutama aspek keagamaan diambil kira.
“Analisis DNA boleh membezakan ciri antara spesis dan ia mengesahkan tidak wujud enzim babi dalam bahan untuk menghasilkan produk itu. Hasil kajian ini memadai untuk menghapuskan perasaan was-was di kalangan rakyat.
“Yang pasti, usaha dibuat untuk mendapatkan keterangan pihak yang mengeluarkan kenyataan itu bagi mengenal pasti motifnya kerana sebarang isu berkaitan makanan adalah sensitif, malah boleh memberi kesan kepada masyarakat,” katanya kepada Berita Harian.
Sumber: Berita harian ,Isnin 24/12/07

Tiada ulasan:

Catat Ulasan