Pembiakbakaan ayam kampung tempatan memasuki fasa terbaru apabila penyelidikan terhadap baka yang diambil dari utara dan selatan negara disatukan untuk menghasilkan ayam berkualiti dikenali Ayam Kampung MARDI.
Projek biak baka Ayam Kampung MARDI dipelopori bekas pegawai penyelidiknya, Dr Engku Azahan Engku Ahmad pada 2005 sebelum disambung rakan setugas, Azlina Azma Ismail Affendee.
MARDI turut menyumbangkan dana pada jumlah sama bagi tujuan penyelidikan baka ayam itu menerusi dana Wang Rizab MARDI.
Pengarah Pusat Pe-nyelidikan Ternakan Strategik MARDI, Dr Azizan Abd Rashid berkata, Ayam Kampung MARDI mewarisi 100 peratus baka asli tempatan dan lebih istimewa berbanding yang lain.
“Kaedah pemilihan membabitkan baka dari dua zon berbeza bukan saja dari aspek pengeluaran telur tapi daging yang pejal.
“Ciri baka ayam kampung selatan diambil dari Johor kerana mempunyai pertumbuhan berat badan yang kurang, tapi pengeluaran telur tinggi, manakala ayam kampung di kawasan tengah pula pe-ngeluaran telur dan berat badan sekata.
“Bagi ayam zon utara dari Seberang Prai dan Kedah, pertumbuhan berat badan tinggi, tetapi pengeluaran telur kurang, sedangkan kami memerlukan kedua-dua ciri ini,” katanya.
Menurutnya, ciri pertumbuhan berat badan dan pengeluaran telur yang banyak menyebabkan baka dari selatan dan utara sesuai menghasilkan ayam dikehendaki.
“Jika mahu menjadikan ayam baka, kami perlu mendapatkan jumlah telur yang banyak.
“Kami perlu baka yang seimbang, bukan saja menghasilkan telur banyak tetapi pertumbuhannya juga baik,” katanya.
Katanya, pembiakbakaan ayam kampung dari selatan dan utara yang dilakukan sejak tujuh tahun itulah menghasilkan Ayam Kampung MARDI.
Namun, beliau me-ngakui Ayam Kampung MARDI dihasilkan dari kedua-dua baka itu pada mulanya menampakkan ketidakseragaman dari aspek warna bulu.
“Menerusi ‘line breading’ didapati ada ayam berwarna merah dan pudar. Jadi pemilihan dilakukan ketika pe-ngeluaran anak.
“Pada peringkat pertama (F1), ‘line breading’ ayam yang kami ‘kahwinkan’ dari utara dan selatan menghasilkan 1,000 anak ayam.
“Kami hanya memilih 600 hingga 700 ekor yang mempunyai ciri ditetapkan seperti warna balung, bulu dan panjang kaki,” katanya.
Semua 600 baka anak ayam itu kemudian dikahwinkan semula sebelum ke peringkat generasi keempat (F4) yang mempunyai 95 peratus keseragaman Ayam Kampung MARDI.
Dr Azizan berkata, berbanding baka kacukan seperti ‘Sasso’ dari Perancis, baka Ayam Kampung MARDI yang kini sudah melalui peringkat generasi kelima (F5) adalah lebih baik termasuk dagingnya lebih pejal.
“Kadar pertumbuhannya juga sekata, sama dengan pertumbuhan ayam asli.
“Malah, Ayam Kampung MARDI mempunyai kadar pertumbuhan purata 1.5 kilogram dalam tempoh 12 minggu,” katanya.
Menurutnya, Ayam Kampung MARDI juga mempunyai kadar bertelur 65 peratus lebih baik berbanding ayam kampung asli.
“Ayam kampung biasa mengeluarkan antara 60 hingga 80 biji telur setahun berbanding ayam dihasilkan MARDI mencecah sehingga 200 biji telur setahun.
“Walaupun baka dipertingkatkan, Ayam Kampung MARDI masih kekal sifat asal ayam kampung asli iaitu mengais dan me-ngeram,” katanya.
Kelebihan ayam MARDI ialah ia boleh diternak dalam skala yang besar atau dilepas bebas di ladang sawit, getah dan kebun buah-buahan.
“Kaedah penternakan dan perumahannya mudah serta ringkas berbanding dengan ayam pedaging. Malah, mampu memberikan pulangan lumayan,” katanya.
Katanya, Ayam Kampung MARDI tidak mempunyai skop pengurusan tinggi kerana penternakannya sama dengan ayam kampung biasa.
“Kajian dijalankan terhadap ayam ini mendapati ia menggunakan makanan komersial sedia ada, tidak memerlukan ubi kayu dan rumbia,” katanya.
Mengenai perancangan masa depan, katanya MARDI berharap membekalkan lebih banyak bekalan anak ayam.
“Sejak dilancarkan, permintaan kalangan industri meningkat 10,000 ekor seminggu, sedangkan kami mengeluarkan 700 ekor seminggu.
“Kami memerlukan kira-kira RM2 juta untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran anak ayam daripada 700 ke 20,000 anak ayam seminggu,” katanya.
Katanya, MARDI bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk mendapatkan geran MOSTI berjumlah RM3 juta bagi mengeluarkan baka induk ibu Ayam Kampung MARDI.